Secara rumusannya, kami telah peroleh pelbagai pengajaran dan pengetahuan yang baik daripada kajian ini. Antara pengajaran yang kami peroleh ialah sebagai umat Islam, kita diwajibkan bertawakal dan hanya bergantung kepada Allah selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekara yang dihajati. Terutama sekali dalam melakukan tugas-tugas harian sebagai khalifah di bumi ini. Sebagai contoh, pengajaran yang kami dapat daripada perwatakan Ustaz Adam dalam filem Munafik. Beliau sentiasa bertawakal kepada Allah sama ada berada dalam keadaan susah mahupun senang.
Di samping itu, kita hendaklah percaya bahawa meminta bantuan kepada makhluk lain selain Allah seperti jin dan syaitan akan memberikan kesan yang memudaratkan dan bukannya memperoleh manfaat dari apa yang diminta. Hal ini kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah malah tindakan ini akan mengakibatkan pemikiran umat islam terbelenggu dalam akidah sesat. Contohnya, melalui perjanjian syaitan dan iblis dalam lakonan Pak Osman, beliau telah menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan hatinya terhadap Ustaz Adam.
Tambahan pula, sebagai seorang anggota masyarakat yang prihatin terhadap persekitaran, kita perlulah sentiasa tegas dalam membanteras dan membendung masalah yang berkaitan pengamalan unsur-unsur khurafat dalam kalangan masyarakat. Segala kegiatan khurafat yang berlebihan dalam industri perfileman perlulah dielakkan dan dihapuskan. Mungkin perkara ini tidaklah memberi impak yang besar dalam keseluruhan masyarakat tetapi jika dibiarkan lama ianya pasti memberi kesan buruk kepada keseluruhannya. Firman Allah dalan surah Yunus ayat 106, “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim”. Maka dengan itu seharusnya kita lebih berwaspada dalam penghasilan filem yang berunsur khurafat tanpa tapisan dari pihak berkuasa akan tersebar meluas dalam negara.
Akhir sekali, kita haruslah berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan juga sentiasa memahami dan mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah bagi mengelakkan amalan khurafat ini terus berleluasa dalam kalangan masyarakat khusunya masyarakat Islam kita sendiri. Sebagai khalifah di bumi, kita juga sentiasa dituntut untuk sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala-Nya, apatah lagi jika perbuatan kita itu berunsurkan khurafat.Oleh itu, dalam kita berseronok dalam hiburan duniawi, perlu beringat agar tidak terjerumus kepada perkara yang boleh merosakkan akidah sebagai seorang umat Islam. Hiburan sememangnya tidak salah dalam Islam tetapi tidak harus melanggar batas yang telah ditetapkan syariat. Penggiat seni perfileman tanah air perlu berhati-hati dalam menggarap skrip dalam setiap filem mereka agar tidak terpesong dari ajaran Islam. Bagi para penonton pula tidak seharusnya terlalu taksub dengan hantu yang hanya rekaan manusia semata-mata sedangkan kita harus lebih takut kepada azab Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah s.w.t merupakan pencipta sekalian makhluk.
Rasulullah SAW melarang berjumpa tukang tenung (kuhhan) dalam sabda bermaksud: “Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam.” (Hadis riwayat Tabarani)
No comments:
Post a Comment